Ruangan untuk rakyat menyatakan pandangan dan kritikan terhadap pemimpin-pemimpin tempatan, negeri dan negara serta PBT dan agensi-agensi kerajaan demi untuk kesejahteraan ummah.
Komen dan kritikan yang jujur dan membina amatlah dihargai. Namun empunya blog ini berhak tidak memaparkan komen anda sekiranya komen/kritikan anda mengandungi unsur fitnah, cercaan dan tidak berakhlak. Anda yang mahu menyumbangkan pandangan/komen boleh emailkan kepada paktam2020@gmail.com. Jika tiada halangan hasil tulisan anda akan dipaparkan, terima kasih.
Seramai 1200 nelayan kawasan Pulau Pinang Selatan telah menerima bayaran elaun sara hidup sebanyak RM200 secara tunai pada majlis yang diadakan di Kompleks Sukan Balik Pulau semalam. Bantuan ini telah mula disalurkan sejak Oktober tahun lepas dan sehingga kini ke semua nelayan berdaftar terus menerima bantuan bulanan tersebut untuk meningkatkan pendapatan bulanan mereka. Kesemua nelayan merangkumi kawasan Sungai Pinang, Jelutong sehinggalah Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau akan terus menerima elaun sara hidup tersebut. Turut hadir majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Telok Bahang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya, ADUN Bayan Lepas, Syed Amerruddin Syed Ahmad dan ADUN Pulau Betong, Muhammad Farid Saad. Melalui bajet 2010 yang dibentangkan oleh PM baru-baru ini, pihak kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM170 juta untuk membantu nelayan meningkatkan taraf hidup mereka.
Pada 2 Nov. 2009 jam 10.00 malam, Program Di Luar Lingkup (DLL) RTM1 telah membicarakan tajuk yang sekian lama dibincangkan sejak dulu tapi tidak ke mana-mana. Cikgu Azmi Hamid, Pengerusi Teras asyik mengkritik dasar kerajaan, agensi dan slogan 1Malaysia yang beretorik. Tapi tidak pula mengusulkan apakah langkah-langkah konkrit yang boleh pihak kerajaan terutama kerajaan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat lakukan supaya Melayu PP tidak akan dipinggirkan lagi. Sdr Rizal, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang yang mengetengahkan fakta tetapi sekadar menceritakan sejarah Melayu Pulau Pinang bagaimana beransur-ansur terpinggir. Mungkin masa yang terbatas, pengerusi panel, sdr Syed Munawar tidak berkesempatan memberi peluang ahli panel mengemukakan langkah-langkah untuk mengatasi masalah Melayu di Pulau Pinang yang dipinggir sekian lama. Melalui emel yang diapaparkan melalui kaca TV kebanyakan penghantar emel melahirkan rasa tidak puas hati orang Melayu yang diperintah oleh pemimpin bukan Melayu. Mereka mempercayai jika pemimpin Melayu yang menjadi Ketua Menteri, orang Melayu PP akan terbela. Ada emel yang mahu orang Melayu kembali bersatu untuk mengembalikan kuasa memerintah PP kepada BN. Mereka hilang keyakinan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat hari ini dapat membela nasib orang Melayu dan agama Islam. Program DLL TV1 semalam yang mengambil masa hanya 1 jam sebenarnya tidak mampu menghuraikan secara komprehensif masalah orang Melayu Pulau Pinang yang terpinggir dan tertekan sejak berdekad lamanya. Kita menunggu pemimpin-pemimpin Melayu Pakatan Rakyat yang diwakili oleh pemimpin PKR dan PAS dapat membuat sesuatu, bukan sekadar berceramah dan mengkritik sepatutnya sudah ada pun usaha-usaha untuk memertabatkan orang Melayu Pulau Pinang terutama dalam sektor industri pembuatan, pelancongan, perkapalan, keusahawanan, pemilikan hartanah dan sebagainya. BN dikatakan gagal memerintah dan membela nasib orang Melayu Pulau Pinang hingga dihukum rakyat dalam PRU12 yang lalu. Giliran Pakatan Rakyat pula buktikan kepada pengundi-pengundi bahawa Pakatan Rakyat mampu melaksanakannya. Tidak asyik menyalahkan orang lain. Tetapi melalui sembang-sembang, rata-rata orang Melayu mengakui bahawa Melayu Pulau Pinang lebih tertekan dan semakin dipinggir di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat. Ada dasar kerajaan negeri PR secara tidak sedar telah merugikan orang Melayu sendiri. Pemimpin PAS dan PKR dalam Pakatan Rakyat di PP jangan berdiam membisu. Beranilah mempertahankan kepentingan Melayu dan agama Islam sepertimana YB Dato' Hassan Ali lakukan di Selangor. Jangan sampai 'Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih'.
Tiada akan ada penagih dadah jika tidak ada pengeluar, pengedar dan penjualnya menyebabkan penagihan di kalangan remaja semakin bertambah serius. Golongan ini mahu mengaut keuntungan tanpa memikirkan kesan buruknya kepada generasi yang akan datang. Mereka tidak akan fikir itu semua kerana yang mereka mahu hanyalah keuntungan yang mudah dan berlipat ganda. Yang menagih bukan dari bangsa dan anak pinak mereka. Yang rosak, yang rugi, yang jahanam bangsa itu bukan dari bangsanya. Petang semalam seglintir remaja umur belasan tahun masih bersekolah telah aku tahan dalam sebuah hutan atas bukit di belakang sebuah kawasan perumahan. Dengan sokongan beberapa remaja prihatin, aku memberanikan diri mendaki bukit melalui lorong curam berbatu, pelan-pelan aku menghampiri mereka. Mereka terperanjat kerana di hadapan mereka berdirinya aku yang menghalang laluan keluar untuk mereka melarikan diri. Aku minta mereka duduk dan bertenang jika mereka tidak mahu perbuatan mereka dihebahkan kepada ibu bapa mereka. Ada di antara mereka memohon maaf seperti mahu melutut menyembah aku supaya perbuatannya itu dirahsiakan. Aku masih ingat awal tahun ini juga aku sudah menahan 5 remaja yang masih bersekolah Ting. 2 di salah sebuah sekolah menengah dalam daerah ini. Kira-kira seminggu kemudian, kira-kira 9 orang remaja lain pula ditahan dan dibawa ke rumahku untuk 'dibersihkan' dan mengikrar janji supaya tidak mengulangi perbuatan terkutuk itu. Tapi petang semalam aku terkejut pelajar yang sama terus menagih gam. Mereka memperolehi gam dari sebuah kedai runcit berhampiran. Kumpulan remaja yang ditahan sebelum ini juga memberitahu bahawa kedai yang sama juga menjual gam kepada mereka dengan harga RM3.80 setin. Tanpa memikirkan risiko aku berjumpa dengan empunya kedai itu dengan ditemani salah seorang AJK Kampung berkenaan. Tuan punya kedai tidak mahu mengaku. Bila aku nak bawa budak yang membeli, barulah dia buat pengakuan bahawa dia ada menjual gam itu. Sebenarnya tuan punya kedai itu hanya pentingkan keuntungan. Sudah lama bertahun dia menjual barang itu. Eloklah kadang-kadang kedainya dipecah masuk oleh penagih sendiri. Melalui tulisan ini aku cuma mahu berkongsi bahawa bahawa kedai-kedai yang menjual gam perlu mempunyai sikap bertanggungjawab dan bukan pentingkan keuntungan semata-mata. Manakala anggota masyarakat terutama ibu bapa perlu mengawasi pergerakan anak-anak mereka. Kedai-kedai yang terus menjual gam kepada remaja perlu diboikot supaya pemilik kedai itu sedar bahawa perbuatannya itu dibenci oleh masyarakat. Sama-samalah kita membenteras apa jua jenis penagihan di kalangan remaja agar kita dapat membina sebuah masyarakat yang sihat dari segi fizikal dan mental, jasmani dan rohani.
Persidangan Perhimpunan Agung yang berakhir minggu lalu bukan sahaja meninggalkan detik manis kepada ahli-ahli UMNO tetapi ia juga membawa satu tekad dengan semangat waja bagaikan gelombang kebangkitan Melayu mulai kembali bersinar. Pemimpin-pemimpin UMNO diminta kembali ke tempat masing-masing dengan membawa perubahan, mendampingi setiap anggota masyarakat, menaburkan khidmat dan bakti kepada rakyat tanpa mengira kaum dan fahaman politik. UMNO merupakan parti yang akan menjuarai rakyat. Bukan sebuah parti beretorik dan bercakap tidak serupa bikin sebaliknya sentiasa mengkotakan apa yang dijanjikan kepada rakyat.
Tetapi apakah pemimpin-pemimpin bawahan seperti ketua-ketua bahagian dan cawangan, ketua-ketua pemuda bahagian dan cawangan, ketua-ketua wanita bahagian dan cawangan, ketua-ketua puteri dan cawangan serta pemimpin-pemimpin pertubuhan belia yang menyokong perjuangan UMNO/BN mampu menggalas tugas yang amat berat itu. Pemimpin-pemimpin ini sebenarnya akan berhadapan dengan pelbagai latar belakang manusia; ada yang tidak ambil kisah, yang pro UMNO/BN, yang anti UMNO/BN, yang pro pembangkang dan paling teruk sekali yang fanatik kepada parti seperti PAS.
Melalui pengamatan lampau, pemimpin-pemimpin UMNO bawahan cuma menjuarai kepimpinan di kalangan ahli-ahli UMNO sahaja. Program-program yang dirancang dan dilaksanakan hanya dapat menarik di kalangan orang-orang Melayu dan bukan Melayu yang pro BN sahaja. Belum tampak lagi pemimpin UMNO disanjung dan dihormati oleh ahli UMNO dan bukan UMNO khususnya pro pembangkang yang tidak fanatik memuji kepimpinan UMNO di peringkat akar umbi. Tak guna kita menjadi pemimpin di bahagian tetapi kalah dalam pilihanraya. Itulah antara kata-kata bermakna dari mulut PM sendiri.
Apakah gelombang kebangkitan semangat UMNO yang bermula di Persidangan Perhimpunan Agung baru-baru ini terus mencecah sampai ke peringkat bahagian dan cawangan? Tunggu dan kita lihat!
Hari ini, wakil rakyat Telok Bahang, Dato' Seri Dr. Hilmi Yahaya dan Speaker DUN, Abdul Halim Hussain telah mengadakan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri dalam tempoh masa yang sama tetapi tempat tidak berapa jauh di antara satu sama lain. Rumah Terbuka Speaker DUN Pulau Pinang diadakan di Kompleks Sukan Balik Pulau yang besar, luas dan amat selesa. Sebaliknya DS Dr. Hilmi Yahaya mengadakannya di perkarangan rumahnya yang agak luas tetapi tidak selesa. Kehadiran tetamu dapat dilihat dengan barisan kereta yang diletak di sebelah kiri dan kanan jalan raya. Sepintas lalu, kehadiran tetamu DS Dr. Hilmi Yahaya lebih ramai pada tahun ini jika dibandingkan dengan tahun sebelum ini.
Sempat memasukki perkarangan tempat letak kereta Kompleks Sukan Balik Pulau kira-kira jam 12.15 tengahari. Kelihatan masih banyak tempat-tempat letak kereta yang kosong termasuk di bahagian belakang dan kanan kompleks. Tiada kenderaan yang melimpah keluar kawasan kompleks, tiada kenderaan yang didapati diletakkan hingga di hadapan SK Balik Pulau seperti dapat kita lihat semasa DS Dr Hilmi mengadakan Rumah Terbuka kira-kira tiga tahun yang lalu. Mungkin tidak adil jika ini dijadikan ukuran kerana DS Hilmi adalah ahli parlimen Balik Pulau merangkap Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan pada masa itu. Rumah Terbuka itu pula diadakan secara bersama dengan YB Farid (DUN Pulau Betong) dan mantan ADUN Telok Bahang, Faridah Arshad.
Berdasarkan kehadiran tetamu yang begitu ramai pada hari ini, DS Hilmi selaku Ketua Bahagian UMNO Balik Pulau akan merasakan sedikit lega kerana selaku wakil rakyat pembangkang di Pulau Pinang, sokongan rakyat pelbagai kaum masih kuat dan bertambah baik. Namun begitu Speaker DUN Pulau Pinang, Abdul Halim Hussain tidak sepatutnya merasa resah kerana beliau masih baru dan jumlah kehadiran tetamunya pada hari ini boleh dianggap sudah cukup baik.
Hari ini 8 Sept.,2009, Selasa suatu perjalanan ke pejabat yang amat menyiksakan dan menderita. Bulan Ramadhan, bulan penuh keberkatan menuntut kita banyak bersabar kepada Allah s.w.t. Kenderaan sesak sejauh hampir 1 km bermula dari lampu trafik Bayan Lepas hinggalah ke simpang SK Sungai Batu. Kenderaan bergerak perlahan-lahan dan kadang-kadang berhenti mendaki dan menuruni bukit. Pemandu yang tidak sabar, tanpa segan dan rasa malu, terus memecut laju memotong barisan kenderaan yang setia menunggu giliran. Mungkin pemandu itu sudah terlewat dan mungkin juga pemandu itu tunjuk lagak yang dia pemandu hebat di atas jalan raya yang sesak. Entahlah tetapi beginilah nasib pengguna-pengguna jalan raya yang datang dari Sg. Batu, Telok Kumbar dan Balik Pulau. Sampai bila mereka ini harus menghadapi keadaan begini? Sejak dua-tiga tahun yang lampau beginilah keadaannya. Apakah nasib mereka akan terus begini sehingga dua-tiga tahun lagi?
Pemimpin-pemimpin negara dan lebih-lebih lagi Exco Kerajaan Negeri yang berkaitan dengan portfolio kemudahan awam yang boleh menjawabnya. Boleh jawab tetapi belum tentu mampu melaksanakannya! Sebenarnya sudah lama rakyat dari sebelah Sg. Batu dan Telok Kumbar tersiksa dengan kesesakan jalan raya begini. Kesesakan akan menjadi lebih serius bila jalan Teluk Kumbar - Genting siap dan boleh digunakan oleh orang ramai. Bererti jiwa semakin tersiksa dan hati terus merana, bukan kerana putus cinta tetapi angkara jalan yang tidak raya. Jika kesesakan hari ini sudah bermula jam 6.45 pagi pada waktu hujan dan mungkin akan datang mereka mesti bermula perjalanan sebaik selesai sahaja solat Subuh. Pemimpin-pemimpin kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat perlu mengambil perhatian yang serius berkaitan pembinaan jalan Teluk Kumbar-Bayan Lepas supaya penduduk tidak terus tersiksa dan menderita!
BANTAH ... Para peniaga membuat bantahan terhadap MPPP berikutan larangan membuka Pasar Ramadan di sepanjang Jalan Penang di Georgetown, Pulau Pinang. Inilah peluang untuk orang Islam berniaga di bulan Ramadan. Cuma MPPP boleh menentukan lot-lot niaga dan peraturan-peraturan tertentu kerana pasar Ramadan juga boleh dijadikan daya tarikan kepada pelancong-pelancong asing yang berada di Pulau Pinang. Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri dan MPPP hendaklah adil dan menghormati hak rakyat serta memahami masalah perniagaan orang Melayu/Islam di bandar-bandar. Difahamkan hari ini hampir mencetus pergaduhan bila MPPP bertindak merampas barangan yang dijual di pasar Ramadan di bandar Georgetown. Nasib orang Melayu/Islam di bandar tidak diberi peluang langsung untuk berniaga hanya untuk sepanjang bulan Ramadan.