MELAYU PULAU PINANG PERLU BANGKIT UNTUK BERUBAH, MASA TIDAK MENUNGGU KITA

Monday, October 26, 2009

BOIKOT KEDAI YANG MENJUAL GAM!

Tiada akan ada penagih dadah jika tidak ada pengeluar, pengedar dan penjualnya menyebabkan penagihan di kalangan remaja semakin bertambah serius. Golongan ini mahu mengaut keuntungan tanpa memikirkan kesan buruknya kepada generasi yang akan datang. Mereka tidak akan fikir itu semua kerana yang mereka mahu hanyalah keuntungan yang mudah dan berlipat ganda. Yang menagih bukan dari bangsa dan anak pinak mereka. Yang rosak, yang rugi, yang jahanam bangsa itu bukan dari bangsanya.
Petang semalam seglintir remaja umur belasan tahun masih bersekolah telah aku tahan dalam sebuah hutan atas bukit di belakang sebuah kawasan perumahan. Dengan sokongan beberapa remaja prihatin, aku memberanikan diri mendaki bukit melalui lorong curam berbatu, pelan-pelan aku menghampiri mereka. Mereka terperanjat kerana di hadapan mereka berdirinya aku yang menghalang laluan keluar untuk mereka melarikan diri. Aku minta mereka duduk dan bertenang jika mereka tidak mahu perbuatan mereka dihebahkan kepada ibu bapa mereka. Ada di antara mereka memohon maaf seperti mahu melutut menyembah aku supaya perbuatannya itu dirahsiakan.
Aku masih ingat awal tahun ini juga aku sudah menahan 5 remaja yang masih bersekolah Ting. 2 di salah sebuah sekolah menengah dalam daerah ini. Kira-kira seminggu kemudian, kira-kira 9 orang remaja lain pula ditahan dan dibawa ke rumahku untuk 'dibersihkan' dan mengikrar janji supaya tidak mengulangi perbuatan terkutuk itu.
Tapi petang semalam aku terkejut pelajar yang sama terus menagih gam. Mereka memperolehi gam dari sebuah kedai runcit berhampiran. Kumpulan remaja yang ditahan sebelum ini juga memberitahu bahawa kedai yang sama juga menjual gam kepada mereka dengan harga RM3.80 setin.
Tanpa memikirkan risiko aku berjumpa dengan empunya kedai itu dengan ditemani salah seorang AJK Kampung berkenaan. Tuan punya kedai tidak mahu mengaku. Bila aku nak bawa budak yang membeli, barulah dia buat pengakuan bahawa dia ada menjual gam itu. Sebenarnya tuan punya kedai itu hanya pentingkan keuntungan. Sudah lama bertahun dia menjual barang itu. Eloklah kadang-kadang kedainya dipecah masuk oleh penagih sendiri.
Melalui tulisan ini aku cuma mahu berkongsi bahawa bahawa kedai-kedai yang menjual gam perlu mempunyai sikap bertanggungjawab dan bukan pentingkan keuntungan semata-mata. Manakala anggota masyarakat terutama ibu bapa perlu mengawasi pergerakan anak-anak mereka. Kedai-kedai yang terus menjual gam kepada remaja perlu diboikot supaya pemilik kedai itu sedar bahawa perbuatannya itu dibenci oleh masyarakat. Sama-samalah kita membenteras apa jua jenis penagihan di kalangan remaja agar kita dapat membina sebuah masyarakat yang sihat dari segi fizikal dan mental, jasmani dan rohani.

Tuesday, October 20, 2009

Rakyat ragu kemampuan pemimpin UMNO bawahan!

Persidangan Perhimpunan Agung yang berakhir minggu lalu bukan sahaja meninggalkan detik manis kepada ahli-ahli UMNO tetapi ia juga membawa satu tekad dengan semangat waja bagaikan gelombang kebangkitan Melayu mulai kembali bersinar. Pemimpin-pemimpin UMNO diminta kembali ke tempat masing-masing dengan membawa perubahan, mendampingi setiap anggota masyarakat, menaburkan khidmat dan bakti kepada rakyat tanpa mengira kaum dan fahaman politik. UMNO merupakan parti yang akan menjuarai rakyat. Bukan sebuah parti beretorik dan bercakap tidak serupa bikin sebaliknya sentiasa mengkotakan apa yang dijanjikan kepada rakyat.

Tetapi apakah pemimpin-pemimpin bawahan seperti ketua-ketua bahagian dan cawangan, ketua-ketua pemuda bahagian dan cawangan, ketua-ketua wanita bahagian dan cawangan, ketua-ketua puteri dan cawangan serta pemimpin-pemimpin pertubuhan belia yang menyokong perjuangan UMNO/BN mampu menggalas tugas yang amat berat itu. Pemimpin-pemimpin ini sebenarnya akan berhadapan dengan pelbagai latar belakang manusia; ada yang tidak ambil kisah, yang pro UMNO/BN, yang anti UMNO/BN, yang pro pembangkang dan paling teruk sekali yang fanatik kepada parti seperti PAS.

Melalui pengamatan lampau, pemimpin-pemimpin UMNO bawahan cuma menjuarai kepimpinan di kalangan ahli-ahli UMNO sahaja. Program-program yang dirancang dan dilaksanakan hanya dapat menarik di kalangan orang-orang Melayu dan bukan Melayu yang pro BN sahaja. Belum tampak lagi pemimpin UMNO disanjung dan dihormati oleh ahli UMNO dan bukan UMNO khususnya pro pembangkang yang tidak fanatik memuji kepimpinan UMNO di peringkat akar umbi. Tak guna kita menjadi pemimpin di bahagian tetapi kalah dalam pilihanraya. Itulah antara kata-kata bermakna dari mulut PM sendiri.

Apakah gelombang kebangkitan semangat UMNO yang bermula di Persidangan Perhimpunan Agung baru-baru ini terus mencecah sampai ke peringkat bahagian dan cawangan? Tunggu dan kita lihat!