MELAYU PULAU PINANG PERLU BANGKIT UNTUK BERUBAH, MASA TIDAK MENUNGGU KITA

Saturday, December 19, 2009

Lim Guan Eng tidak lagi bantu golongan miskin mulai tahun 2010?

Ketua Menteri, Lim Guan Eng hari ini menjelaskan bahawa rebat bil air yang diberikan kepada golongan miskin di negeri itu pada tahun ini, tidak akan dipanjangkan ke tahun depan.

Beliau berkata rebat bil air yang berjumlah RM17 juta itu diberikan pada tahun ini bagi membantu golongan miskin berikutan kenaikan harga minyak.

Beliau diminta mengulas mengenai persoalan yang dibangkitkan Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim mengenai rebat bil air berjumlah RM17 juta yang tidak dimasukkan dalam Bajet Pulau Pinang 2010 ketika dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Azhar dilaporkan berkata tahun lepas kerajaan negeri berjanji akan memberi kepada kira-kira 170,000 keluarga di negeri ini rebat bil air sebanyak RM100 dengan empat kali rebat atau RM25 untuk setiap bil.

Lim berkata Azhar sepatutnya faham bahawa rebat itu diberikan hanya sekali iaitu pada tahun ini.

"Mengapa kita nak bentang dalam bajet 2010 sedangkan rebat itu diberikan untuk tahun 2009," katanya.

Komen:
Rakyat miskin di Pulau Pinang perlu pembelaan seperti yang dijanjikan dalam kempen pilihanraya yang lalu. Pemimpin politik di kalangan DAP, PAS dan PKR berapi-rapi dalam ceramah mereka '"jika kita menang nanti, kita nak bela nasib rakyat, kita memahami masalah rakyat, kita mahu sentiasa bersama rakyat, kita pasti tiada rakyat yang dizalimi, tiada rakyat yang disisihkan dan tiada rakyat yang didiskriminasi ......bla, bla dan banyak lagi!
Tapi masih ramai kali keluarga miskin di Pulau Pinang. Kerajaan negeri boleh memberhentikan rebat bil air itu jika tiada lagi rakyat miskin di negeri ini. Sekarang sudah jadi kerajaan, baru tahu betapa susahnya nak jaga rakyat! Apakah sekali rebat bil air itu ertinya kerajaan Pakatan Rakyat sudah menunaikan janji pilihanraya yang lalu? Rakyat Pulau Pinang akan terus memerhati kelicikan Ketua Menteri PP, Tuan Lim Guan Eng berkata-kata......

Monday, December 14, 2009

Kempen Pemilihan AJK Qaryah: Pepecahan Umat Islam semakin serius!

Mahu tak mahu, hakikat perpecahan umat Islam akhir-akhir ini semakin ketara dan menggerunkan semua pihak. Walaupun bangsa Melayu mengikut Perlembagaan Persekutuan adalah beragama Islam tetapi perpecahan umat Islam sangat merugikan survival politik bangsa Melayu sendiri dan umat Islam amnya. Suasana politik semasa telah berubah! Orang Melayu berpecah sesama sendiri di kampung-kampung dan di desa-desa, di masjid dan surau tidak berkecuali. Semasa kerajaan negeri di bawah pemerintahan BN, puak UMNO tidak begitu agresif untuk menguasai masjid dan surau kerana puak ini 'tak kisah' siapa yang nak jadi pengerusi qaryah, pegawai masjid mahupun imam. Puak UMNO yang fanatik pun masih boleh menerima imam dari kalangan orang PAS. Sebaliknya puak PAS tidak boleh menerima imam dari kalangan orang UMNO meskipun kemampuan dan keilmuan imam UMNO tidak boleh dinafikan. Inilah yang berlaku di kalangan umat Islam di Malaysia khususnya di Pulau Pinang hari ini.
Kempen pemilihan AJK Qaryah Masjid berjalan dengan begitu hebat. Politik berpuak dalam qaryah tidak dapat disembunyikan lagi. Asas pemilihan bagi calon-calon tertentu sudah berteraskan kepada politik kepartian. Tidak pernah berlaku sebelum ini. Jika berlaku pun tidak begitu ketara. Politik semasa menuntut perubahan. Kempen sudah berjalan. Tanpa segan silu mereka berjalan berkempen. Dari rumah ke rumah hingga di gelanggang permainan mereka terus berkempen. Perjumpaan-perjumpaan secara tertutup diadakan. Yang jelas umat Islam dalam qaryah terus berpecah sesama sendiri. Perpecahan menjadi semakin serius. Mungkin amalan demokrasi dianggap baik tetapi di masjid dan surau jika amalan demokrasi yang 'keterlaluan' yang rugi adalah bangsa Melayu dan umat Islam itu sendiri. Selepas keputusan pemilihan diperolehi dan tanggungjawab diberi, tugas Pengerusi dan AJK Qaryah mungkin lebih mudah dan jika tidak kena gaya akan mendapat padah.
Sebelum ini, institusi masjid kelihatan tenang. Tiada perebutan jawatan. Jika ada pertandingan pun berlaku secara senyap. Tiada isu sama ada calon dari puak UMNO ataupun PAS. Asalkan Pengerusi Qaryah, AJK Qaryah atau imam masjid adalah orang yang mampu dan layak untuk memegang jawatan itu. Dan kita akan lihat apakah barisan kepimpinan baru qaryah yang bakal dilantik nanti dapat menginstitusikan masjid sebagai rumah Allah, tempat orang-orang Islam mengabadikan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan lambang kekuatan agama Islam dan kekukuhan umatnya. Marilah kita sama-sama memelihara kemuliaan dan kehormatan institusi masjid dan qaryah dari segala gangguan-gangguan yang boleh menjejaskan perpaduan ummah.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, "Perpaduan di kalangan orang Melayu berada pada tahap membimbangkan dan mereka perlu kembali kepada ajaran Islam sebenar jika mahu mengukuhkannya". Menurut tokoh agama itu, Islam tidak mengajar umatnya berkelahi sesama sendiri hanya disebabkan oleh perbezaan fahaman politik dan ideologi. ''Kita kena sedar betapa perlunya kita bersatu. Berbeza fahaman politik dan ideologi, tidak semestinya kita harus berkelahi sesama Islam. ''Orang Melayu kena kembali pada agama. Kita lemah kerana kita ingkar dengan perintah Allah SWT," katanya.

Thursday, December 10, 2009

Apa jadi rumah mampu milik Teluk Kumbar Heights?

TAPAK untuk projek Teluk Kumbar Heights, Pulau Pinang, asalnya kepunyaan orang Melayu yang dijual kepada Perumahan Negara dengan tujuan menyediakan perumahan untuk rakyat, khususnya yang berpendapatan rendah.

Pecah tanah telah dilakukan oleh mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, beberapa hari sebelum pilihan raya umum 2004.

Mereka yang mendaftar melalui Pejabat Perumahan Negeri untuk rumah pangsa kos rendah, kebanyakkannya bumiputera, telah menerima tawaran. Southdowns Corporation Sdn. Bhd. selaku pemaju telah menawarkan rumah pangsa kos rendah kepada pembeli yang berjaya melalui surat bertarikh 28 April 2007 dengan meminta bayaran RM1,000 sebagai bayaran pendahuluan.

Surat pemaju bertarikh 8 September 2007 mengarahkan pembeli bayar RM2,500 sebagai bayaran penuh 10 peratus. Selepas itu, kami boleh nampak pembinaan rumah kos tinggi seperti teres dua tingkat dibangunkan di sebelah atas bukit dengan rancaknya.

Tiba-tiba pembeli rumah pangsa kos rendah dikejutkan dengan surat daripada pemaju bertarikh 19 Oktober 2009 mengarahkan pembeli pergi ke pejabat tapak untuk mengambil kembali wang RM3,500. Ini kerana rumah kos rendah telah dibatalkan, seterusnya menjanjikan mereka akan ditawarkan semula sekiranya rumah kos rendah dilancarkan semula.

Kalau wang 10 peratus sudah dikembalikan, adakah rumah kos rendah tersebut akan dilancarkan semula? Walau bagaimanapun projek rumah kos tinggi rancak diteruskan.

Persoalannya bolehkah atau apa implikasinya daripada segi undang-undang perkara ini berlaku selepas pembeli sudah pun menandatangani surat perjanjian sewa beli pada 20 September 2007?

Syarat sesuatu projek diluluskan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mesti ada 30 peratus rumah kos rendah. Mustahil MPPP tidak mengetahui perkara ini.

Saya selaku waris kepada salah seorang pembeli merayu kepada semua pembeli rumah kos rendah tidak mengambil balik wang 10 peratus tersebut sehingga kita jelas dengan keadaan sebenar. Saya memohon kepada mereka yang bertanggungjawab membetulkan keadaan ini dan bertindak segera.


Teluk Kumbar, Pulau Pinang

Monday, November 30, 2009

PASAR MALAM BEROPERASI SEBELUM SEKOLAH DIBUKA!





Belum pun sekolah beroperasi, Pasar Malam Kg. Seronok telah pun bertapak di laluan masuk ke Sekolah Kebangsaan Bayan Lepas 2. Pihak Jabatan Pelajaran Negeri atau Pejabat Pelajaran Daerah Barat Daya pun difahamkan tidak dimaklumkan tentang pasar malam tersebut. Beberapa orang penduduk di situ melahirkan rasa kurang senang dengan kewujudan pasar malam di jalan masuk ke kawasan sekolah. Sudah pasti nanti akan timbul banyak masalah yang akan wujud dengan adanya pasar malam di situ. Bagaimana pihak MPPP boleh benarkan pasar malam beroperasi di situ? Apakah pihak penganjur, JKKK Kg. Seronok telah memperolehi kebenaran dari Jabatan Pelajaran atau penduduk-penduduk di kawasan tersebut bagi tujuan mengadakan Pasar Malam di kawasan tersebut? Pihak penganjur perlu mendapatkan pandangan semua pihak terutama penduduk di kawasan kampung yang berhampiran dan Jabatan Pelajaran Pulau Pinang kerana ianya (Pasar Malam) pasti akan menjejaskan hak dan kepentingan orang ramai di kawasan itu.

Wednesday, November 11, 2009

KERAJAAN NEGERI DIDAKWA BERHELAH!

Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Datuk Azhar Ibrahim membidas kerajaan negeri Pulau Pinang kerana tidak bercakap benar mengenai projek pembangunan yang hendak dilaksanakan oleh agensi itu di dua kawasan di Balik Pulau. Kerajaan Negeri mengatakan Perda hanya mahu memajukan projek perumahan berharga antara RM300,000 dan RM1 juta sebagai helah untuk menyekat pembangunan di kawasan Melayu.
Beliau menjelaskan bahawa Perda berhasrat memajukan pembangunan bercampur di dua kawasan miliknya iaitu Sungai Batu dan Teluk Bahang dan permohonan untuk menukar syarat guna tanah telah dikemukakan kepada kerajaan negeri sekitar tahun 2008. "Sudah beberapa kali berbincang dengan Kerajaan Negeri termasuk membuat pindaan seperti yang dikehendaki tetapi masih tiada jawapan diberikan sehingga kini." katanya.
Nampaknya Lim Guan Eng berlakon baik tetapi licik untuk menghapuskan kekuatan politik Melayu di kawasan Balik Pulau? Ada mata tengok dan ada telinga dengar ada otak fikirlah wahai orang-orang Melayu di kawasan Balik Pulau!

Tuesday, November 10, 2009

Elaun Sara Hidup Nelayan di Kawasan Pulau Pinang Selatan

Seramai 1200 nelayan kawasan Pulau Pinang Selatan telah menerima bayaran elaun sara hidup sebanyak RM200 secara tunai pada majlis yang diadakan di Kompleks Sukan Balik Pulau semalam. Bantuan ini telah mula disalurkan sejak Oktober tahun lepas dan sehingga kini ke semua nelayan berdaftar terus menerima bantuan bulanan tersebut untuk meningkatkan pendapatan bulanan mereka.
Kesemua nelayan merangkumi kawasan Sungai Pinang, Jelutong sehinggalah Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau akan terus menerima elaun sara hidup tersebut. Turut hadir majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Telok Bahang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya, ADUN Bayan Lepas, Syed Amerruddin Syed Ahmad dan ADUN Pulau Betong, Muhammad Farid Saad.
Melalui bajet 2010 yang dibentangkan oleh PM baru-baru ini, pihak kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM170 juta untuk membantu nelayan meningkatkan taraf hidup mereka.

Monday, November 2, 2009

Melayu Pulau Pinang Terpinggir atau Dipinggirkan?

Pada 2 Nov. 2009 jam 10.00 malam, Program Di Luar Lingkup (DLL) RTM1 telah membicarakan tajuk yang sekian lama dibincangkan sejak dulu tapi tidak ke mana-mana. Cikgu Azmi Hamid, Pengerusi Teras asyik mengkritik dasar kerajaan, agensi dan slogan 1Malaysia yang beretorik. Tapi tidak pula mengusulkan apakah langkah-langkah konkrit yang boleh pihak kerajaan terutama kerajaan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat lakukan supaya Melayu PP tidak akan dipinggirkan lagi.
Sdr Rizal, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang yang mengetengahkan fakta tetapi sekadar menceritakan sejarah Melayu Pulau Pinang bagaimana beransur-ansur terpinggir. Mungkin masa yang terbatas, pengerusi panel, sdr Syed Munawar tidak berkesempatan memberi peluang ahli panel mengemukakan langkah-langkah untuk mengatasi masalah Melayu di Pulau Pinang yang dipinggir sekian lama.
Melalui emel yang diapaparkan melalui kaca TV kebanyakan penghantar emel melahirkan rasa tidak puas hati orang Melayu yang diperintah oleh pemimpin bukan Melayu. Mereka mempercayai jika pemimpin Melayu yang menjadi Ketua Menteri, orang Melayu PP akan terbela. Ada emel yang mahu orang Melayu kembali bersatu untuk mengembalikan kuasa memerintah PP kepada BN. Mereka hilang keyakinan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat hari ini dapat membela nasib orang Melayu dan agama Islam.
Program DLL TV1 semalam yang mengambil masa hanya 1 jam sebenarnya tidak mampu menghuraikan secara komprehensif masalah orang Melayu Pulau Pinang yang terpinggir dan tertekan sejak berdekad lamanya. Kita menunggu pemimpin-pemimpin Melayu Pakatan Rakyat yang diwakili oleh pemimpin PKR dan PAS dapat membuat sesuatu, bukan sekadar berceramah dan mengkritik sepatutnya sudah ada pun usaha-usaha untuk memertabatkan orang Melayu Pulau Pinang terutama dalam sektor industri pembuatan, pelancongan, perkapalan, keusahawanan, pemilikan hartanah dan sebagainya.
BN dikatakan gagal memerintah dan membela nasib orang Melayu Pulau Pinang hingga dihukum rakyat dalam PRU12 yang lalu. Giliran Pakatan Rakyat pula buktikan kepada pengundi-pengundi bahawa Pakatan Rakyat mampu melaksanakannya. Tidak asyik menyalahkan orang lain. Tetapi melalui sembang-sembang, rata-rata orang Melayu mengakui bahawa Melayu Pulau Pinang lebih tertekan dan semakin dipinggir di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat. Ada dasar kerajaan negeri PR secara tidak sedar telah merugikan orang Melayu sendiri. Pemimpin PAS dan PKR dalam Pakatan Rakyat di PP jangan berdiam membisu. Beranilah mempertahankan kepentingan Melayu dan agama Islam sepertimana YB Dato' Hassan Ali lakukan di Selangor. Jangan sampai 'Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih'.

Monday, October 26, 2009

BOIKOT KEDAI YANG MENJUAL GAM!

Tiada akan ada penagih dadah jika tidak ada pengeluar, pengedar dan penjualnya menyebabkan penagihan di kalangan remaja semakin bertambah serius. Golongan ini mahu mengaut keuntungan tanpa memikirkan kesan buruknya kepada generasi yang akan datang. Mereka tidak akan fikir itu semua kerana yang mereka mahu hanyalah keuntungan yang mudah dan berlipat ganda. Yang menagih bukan dari bangsa dan anak pinak mereka. Yang rosak, yang rugi, yang jahanam bangsa itu bukan dari bangsanya.
Petang semalam seglintir remaja umur belasan tahun masih bersekolah telah aku tahan dalam sebuah hutan atas bukit di belakang sebuah kawasan perumahan. Dengan sokongan beberapa remaja prihatin, aku memberanikan diri mendaki bukit melalui lorong curam berbatu, pelan-pelan aku menghampiri mereka. Mereka terperanjat kerana di hadapan mereka berdirinya aku yang menghalang laluan keluar untuk mereka melarikan diri. Aku minta mereka duduk dan bertenang jika mereka tidak mahu perbuatan mereka dihebahkan kepada ibu bapa mereka. Ada di antara mereka memohon maaf seperti mahu melutut menyembah aku supaya perbuatannya itu dirahsiakan.
Aku masih ingat awal tahun ini juga aku sudah menahan 5 remaja yang masih bersekolah Ting. 2 di salah sebuah sekolah menengah dalam daerah ini. Kira-kira seminggu kemudian, kira-kira 9 orang remaja lain pula ditahan dan dibawa ke rumahku untuk 'dibersihkan' dan mengikrar janji supaya tidak mengulangi perbuatan terkutuk itu.
Tapi petang semalam aku terkejut pelajar yang sama terus menagih gam. Mereka memperolehi gam dari sebuah kedai runcit berhampiran. Kumpulan remaja yang ditahan sebelum ini juga memberitahu bahawa kedai yang sama juga menjual gam kepada mereka dengan harga RM3.80 setin.
Tanpa memikirkan risiko aku berjumpa dengan empunya kedai itu dengan ditemani salah seorang AJK Kampung berkenaan. Tuan punya kedai tidak mahu mengaku. Bila aku nak bawa budak yang membeli, barulah dia buat pengakuan bahawa dia ada menjual gam itu. Sebenarnya tuan punya kedai itu hanya pentingkan keuntungan. Sudah lama bertahun dia menjual barang itu. Eloklah kadang-kadang kedainya dipecah masuk oleh penagih sendiri.
Melalui tulisan ini aku cuma mahu berkongsi bahawa bahawa kedai-kedai yang menjual gam perlu mempunyai sikap bertanggungjawab dan bukan pentingkan keuntungan semata-mata. Manakala anggota masyarakat terutama ibu bapa perlu mengawasi pergerakan anak-anak mereka. Kedai-kedai yang terus menjual gam kepada remaja perlu diboikot supaya pemilik kedai itu sedar bahawa perbuatannya itu dibenci oleh masyarakat. Sama-samalah kita membenteras apa jua jenis penagihan di kalangan remaja agar kita dapat membina sebuah masyarakat yang sihat dari segi fizikal dan mental, jasmani dan rohani.

Tuesday, October 20, 2009

Rakyat ragu kemampuan pemimpin UMNO bawahan!

Persidangan Perhimpunan Agung yang berakhir minggu lalu bukan sahaja meninggalkan detik manis kepada ahli-ahli UMNO tetapi ia juga membawa satu tekad dengan semangat waja bagaikan gelombang kebangkitan Melayu mulai kembali bersinar. Pemimpin-pemimpin UMNO diminta kembali ke tempat masing-masing dengan membawa perubahan, mendampingi setiap anggota masyarakat, menaburkan khidmat dan bakti kepada rakyat tanpa mengira kaum dan fahaman politik. UMNO merupakan parti yang akan menjuarai rakyat. Bukan sebuah parti beretorik dan bercakap tidak serupa bikin sebaliknya sentiasa mengkotakan apa yang dijanjikan kepada rakyat.

Tetapi apakah pemimpin-pemimpin bawahan seperti ketua-ketua bahagian dan cawangan, ketua-ketua pemuda bahagian dan cawangan, ketua-ketua wanita bahagian dan cawangan, ketua-ketua puteri dan cawangan serta pemimpin-pemimpin pertubuhan belia yang menyokong perjuangan UMNO/BN mampu menggalas tugas yang amat berat itu. Pemimpin-pemimpin ini sebenarnya akan berhadapan dengan pelbagai latar belakang manusia; ada yang tidak ambil kisah, yang pro UMNO/BN, yang anti UMNO/BN, yang pro pembangkang dan paling teruk sekali yang fanatik kepada parti seperti PAS.

Melalui pengamatan lampau, pemimpin-pemimpin UMNO bawahan cuma menjuarai kepimpinan di kalangan ahli-ahli UMNO sahaja. Program-program yang dirancang dan dilaksanakan hanya dapat menarik di kalangan orang-orang Melayu dan bukan Melayu yang pro BN sahaja. Belum tampak lagi pemimpin UMNO disanjung dan dihormati oleh ahli UMNO dan bukan UMNO khususnya pro pembangkang yang tidak fanatik memuji kepimpinan UMNO di peringkat akar umbi. Tak guna kita menjadi pemimpin di bahagian tetapi kalah dalam pilihanraya. Itulah antara kata-kata bermakna dari mulut PM sendiri.

Apakah gelombang kebangkitan semangat UMNO yang bermula di Persidangan Perhimpunan Agung baru-baru ini terus mencecah sampai ke peringkat bahagian dan cawangan? Tunggu dan kita lihat!

Monday, September 21, 2009

RUMAH TERBUKA SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI

Hari ini, wakil rakyat Telok Bahang, Dato' Seri Dr. Hilmi Yahaya dan Speaker DUN, Abdul Halim Hussain telah mengadakan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri dalam tempoh masa yang sama tetapi tempat tidak berapa jauh di antara satu sama lain. Rumah Terbuka Speaker DUN Pulau Pinang diadakan di Kompleks Sukan Balik Pulau yang besar, luas dan amat selesa. Sebaliknya DS Dr. Hilmi Yahaya mengadakannya di perkarangan rumahnya yang agak luas tetapi tidak selesa. Kehadiran tetamu dapat dilihat dengan barisan kereta yang diletak di sebelah kiri dan kanan jalan raya. Sepintas lalu, kehadiran tetamu DS Dr. Hilmi Yahaya lebih ramai pada tahun ini jika dibandingkan dengan tahun sebelum ini.
Sempat memasukki perkarangan tempat letak kereta Kompleks Sukan Balik Pulau kira-kira jam 12.15 tengahari. Kelihatan masih banyak tempat-tempat letak kereta yang kosong termasuk di bahagian belakang dan kanan kompleks. Tiada kenderaan yang melimpah keluar kawasan kompleks, tiada kenderaan yang didapati diletakkan hingga di hadapan SK Balik Pulau seperti dapat kita lihat semasa DS Dr Hilmi mengadakan Rumah Terbuka kira-kira tiga tahun yang lalu. Mungkin tidak adil jika ini dijadikan ukuran kerana DS Hilmi adalah ahli parlimen Balik Pulau merangkap Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan pada masa itu. Rumah Terbuka itu pula diadakan secara bersama dengan YB Farid (DUN Pulau Betong) dan mantan ADUN Telok Bahang, Faridah Arshad.
Berdasarkan kehadiran tetamu yang begitu ramai pada hari ini, DS Hilmi selaku Ketua Bahagian UMNO Balik Pulau akan merasakan sedikit lega kerana selaku wakil rakyat pembangkang di Pulau Pinang, sokongan rakyat pelbagai kaum masih kuat dan bertambah baik. Namun begitu Speaker DUN Pulau Pinang, Abdul Halim Hussain tidak sepatutnya merasa resah kerana beliau masih baru dan jumlah kehadiran tetamunya pada hari ini boleh dianggap sudah cukup baik.

Tuesday, September 8, 2009

Jalan Teluk Kumbar-Bayan Lepas Sesak Teruk Bila Hari Hujan!!




Hari ini 8 Sept.,2009, Selasa suatu perjalanan ke pejabat yang amat menyiksakan dan menderita. Bulan Ramadhan, bulan penuh keberkatan menuntut kita banyak bersabar kepada Allah s.w.t. Kenderaan sesak sejauh hampir 1 km bermula dari lampu trafik Bayan Lepas hinggalah ke simpang SK Sungai Batu. Kenderaan bergerak perlahan-lahan dan kadang-kadang berhenti mendaki dan menuruni bukit. Pemandu yang tidak sabar, tanpa segan dan rasa malu, terus memecut laju memotong barisan kenderaan yang setia menunggu giliran. Mungkin pemandu itu sudah terlewat dan mungkin juga pemandu itu tunjuk lagak yang dia pemandu hebat di atas jalan raya yang sesak. Entahlah tetapi beginilah nasib pengguna-pengguna jalan raya yang datang dari Sg. Batu, Telok Kumbar dan Balik Pulau. Sampai bila mereka ini harus menghadapi keadaan begini? Sejak dua-tiga tahun yang lampau beginilah keadaannya. Apakah nasib mereka akan terus begini sehingga dua-tiga tahun lagi?
Pemimpin-pemimpin negara dan lebih-lebih lagi Exco Kerajaan Negeri yang berkaitan dengan portfolio kemudahan awam yang boleh menjawabnya. Boleh jawab tetapi belum tentu mampu melaksanakannya! Sebenarnya sudah lama rakyat dari sebelah Sg. Batu dan Telok Kumbar tersiksa dengan kesesakan jalan raya begini. Kesesakan akan menjadi lebih serius bila jalan Teluk Kumbar - Genting siap dan boleh digunakan oleh orang ramai. Bererti jiwa semakin tersiksa dan hati terus merana, bukan kerana putus cinta tetapi angkara jalan yang tidak raya. Jika kesesakan hari ini sudah bermula jam 6.45 pagi pada waktu hujan dan mungkin akan datang mereka mesti bermula perjalanan sebaik selesai sahaja solat Subuh. Pemimpin-pemimpin kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat perlu mengambil perhatian yang serius berkaitan pembinaan jalan Teluk Kumbar-Bayan Lepas supaya penduduk tidak terus tersiksa dan menderita!

Sunday, September 6, 2009

Kasihan Peniaga Pasar Ramadan Tidak Mendapat Pembelaan!!

BANTAH ... Para peniaga membuat bantahan terhadap MPPP berikutan larangan membuka Pasar Ramadan di sepanjang Jalan Penang di Georgetown, Pulau Pinang. Inilah peluang untuk orang Islam berniaga di bulan Ramadan. Cuma MPPP boleh menentukan lot-lot niaga dan peraturan-peraturan tertentu kerana pasar Ramadan juga boleh dijadikan daya tarikan kepada pelancong-pelancong asing yang berada di Pulau Pinang. Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri dan MPPP hendaklah adil dan menghormati hak rakyat serta memahami masalah perniagaan orang Melayu/Islam di bandar-bandar. Difahamkan hari ini hampir mencetus pergaduhan bila MPPP bertindak merampas barangan yang dijual di pasar Ramadan di bandar Georgetown. Nasib orang Melayu/Islam di bandar tidak diberi peluang langsung untuk berniaga hanya untuk sepanjang bulan Ramadan.

Saturday, September 5, 2009

Bakar Mercun Bukan Budaya Kita!!!

Hampir setiap malam dan setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri akan terdengarlah dentuman mercun dan meriam buatan sendiri. Bunyi dentuman yang sangat kuat menjadi kebanggaan anak muda Melayu. Tanpa rasa segan dan malu, mereka membakar mercun dan meriam mengganggu kedamaian penduduk yang sedang bersolat di rumah, surau atau pun masjid. Pemuda-pemuda dan remaja-remaja hari ini tidak boleh ditegur. Sedihnya mereka berhimpun bukan untuk ke surau atau masjid tetapi menunggu memasuki waktu maghrib untuk membakar mercun. Inilah kerja 'ibadah' orang muda kita pada setiap malam tanpa takut dan hormat kepada sesiapa.
Mungkin mereka menganggap kerja mereka ini merupakan suatu budaya yang tidak menyalahi hukum-hakam agama dan undang-undang negara. Khutbah Jumaat jika ada menyebut persoalan tersebut tetapi mereka masih dengar tak dengar dan mungkin tidak ke masjid menunaikan solat Jumaat. Jika ada pun mungkin mereka tiba di masjid hanya pada ketika hendak menunaikan solat Jumaat.
Pihak berkuasa sama ada PDRM (Polis DiRaja Malaysia) ataupun KDRM (Kastam DiRaja Malaysia) perlu mengambil tindakan tegas kerana undang-undang jelas menyatakan sesiapa yang membakar mercun boleh dikenakan hukuman kerana berurusan dengan barang larangan yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. Tindakan perlu diambil untuk menangani masalah ini. Mustahil balai-balai polis berhampiran tidak mendengar dentuman yang kuat itu. Sekurang-kurangnya anggota polis yang membuat rondaan berusahalah sikit untuk mencari tempat mercun atau meriam itu dibakar. Jika tindakan begini dilakukan sudah cukup menakutkan remaja-remaja lain yang ingin mencuba. Kebanyakan penduduk tidak suka dentuman yang kuat terutama ketika masjid dan surau sedang mengadakan solat jemaah taraweh. Dentuman-dentuman yang kuat itu juga menyebabkan anak-anak kecil terkejut dalam tidur mereka. Orang-orang tua seperti nak gugur jantung mereka. Pihak-pihak berkuasa dan Jawatankuasa Kampung perlu membangkitkan perkara ini dalam mesyuarat-mesyuarat kampung supaya masalah ini dapat dikurangkan pada masa akan datang, InsyaAllah.

Friday, August 28, 2009

Rumah Selalu Dinaiki Air Sistem Perparitan Tidak Memuaskan!

Hujan lebat berterusan sepanjang hari mengingatkan kita dalam bulan Ramadhan pada 5 September 2008 dan 30 September 2009 di mana beberapa buah kampung di kawasan Teluk Kumbar, Bayan Lepas dan Balik Pulau di tenggelami air. Penduduk yang terlibat dengan kawasan banjir tidak tidur lena dengan keadaan hujan yang berterusan. Pemimpin masyarakat seperti JKKK dan Pusat Khidmat DUN juga tidak harus melihat masalah banjir sebagai perkara biasa bila datangnya musim hujan.
Seorang penduduk, Nizam yang menetap di Kg. Sungai Batu dilaporkan mengalami masalah banjir sejak tiga tahun yang lalu. Setiap kali hujan maka kawasan rumahnya akan digenangi air dan lumpur. Kata beliau, rumahnya mudah dinaiki air walaupun hujan tidak lebat. Apatah lagi bila hujan lebat dan berterusan, air akan melimpahi dan memasukki rumahnya dan perabut-perabut rumah tidak dapat diselamatkan lagi. Beliau sekeluarga sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga pada setiap kali hujan.
Menurut beliau lagi, kejadian ini dapat dielakkan jika sistem perparitan dinaiktarafkan supaya air dari belakang dan sekeliling rumahnya dapat dialirkan dengan baik. Beliau telah memohon dan merayu melalui JKKK dan Pusat Khidmat DUN tetapi sehingga kini permohonan tersebut belum ada petanda yang positif. Melalui ruangan ini, beliau merayu agar pihak-pihak yang berkenaan dapat mengambil tindakan segera supaya penderitaan beliau sekeluarga selama tiga tahun dapat ditangani.

Wednesday, August 26, 2009

Penganjur Pasar Malam Teluk Kumbar Pentingkan Untung!

Pasar malam di Teluk Kumbar pada setiap hari selasa telah berpindah di tempat baru kira-kira sebulan yang lalu. Bertempat di kawasan Bandar Baru Teluk Kumbar meliputi laluan-laluan di sekeliling bangunan kedai dua tingkat hingga ke jalan utama. Begitu banyak lot-lot niaga dan banyak jugalah kutipan caj yang boleh dipungut oleh pihak penganjur, JKKK Teluk Kumbar. Dalam usaha mengaut keuntungan pihak penganjur perlu juga memikirkan hak pengguna lain yang mempunyai urusan di kawasan itu.
Ramai ibubapa yang menghantar anak-anak mereka ke Pusat Tuisyen tidak boleh memasuki ke hadapan Pusat Tuisyen kerana jalan di hadapan itu dipenuhi juga dengan gerai-gerai pasar malam. Malah menyusahkan lagi bila waktu musim hujan kenderaan menjadi lebih banyak dan kawasan laluan hadapan Pusat Tusyen menjadi terlalu sesak dan sibuk. Pernah berlaku pelanggaran kecil tetapi tidak menyebabkan kecederaan yang serius di situ.
Pihak penganjur perlu menghadkan lot-lot niaga. Jangan pentingkan keuntungan, ingatlah bahawa pengguna-pengguna dan peniaga-peniaga serta pemilik-pemilik premis di situ juga mempunyai hak untuk keselesaan dan keselamatan. Laluan di sebelah belakang bangunan kedai itu perlu dikosongkan supaya memudahkan kenderaan ke kedai-kedai, pusat tuisyen juga pasar malam boleh masuk dan keluar dari laluan itu dengan mudah dan selamat. Buatlah kajian kesesuaian tempat tersebut sebelum pihak penganjur mengadakan lot-lot pasar malam di situ. Jangan kerana mengautkan keuntungan rakyat pula jadi susah. Ingatlah "1 Malaysia: Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan".

Pusat Siber Cafe Beroperasi Tidak Mematuhi Peraturan!





Siber Cafe tidak dilesenkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Didapati industri siber cafe wujud di kawasan bandar dan juga di pekan-pekan kecil luar bandar tanpa kawalan. Ada peraturan tidak membenarkan pelajar-pelajar beruniform sekolah memasuki pusat-pusat siber cafe tetapi pihak berkuasa manakah yang mengadakan pemantauan pusat-pusat tersebut? Walaupun pusat siber cafe menyediakan kemudahan internet untuk pelajar-pelajar yang tidak mampu. Tetapi kebanyakan pelajar-pelajar sekolah tidak menggunakan kemudahan internet sebagai sumber mendapatkan ilmu pengetahuan. Ada pusat-pusat siber cafe menyediakan pelbagai permainan komputer yang menyeronokkan pelajar-pelajar sekolah. Seorang pelajar yang pernah ditemui memberi tahu bahawa ia menghabiskan antara 4 - 5 jam sehari ataupun RM4 - RM5 sehari. Kebanyakan pelajar sekolah menjadikan pusat siber cafe sebagai tempat mereka ponteng sekolah. Di kawasan Kompleks Bukit Jambul terdapat tidak kurang 4 buah pusat siber cafe yang mulai beroperasi awal pagi jam 8.00 pada setiap hari.
Difahamkan pelajar-pelajar yang memasuki premis-premis ini diminta membuka baju sekolah kononnya tidak melanggar larangan yang ditetapkan oleh pusat siber cafe. Oleh itu didapati pelajar-pelajar sekolah yang berada dalam pusat siber cafe akan berseluar dan berkasut sekolah tanpa baju ataupun berbaju dalam (singlet) sahaja. Peraturan yang melarang pelajar-pelajar sekolah memasuki premis berkenaan telah dimanapulasikan oleh pengusaha-pengusaha pusat siber. Pihak perlesenan Majlis Perbandaran Pulau Pinang tidak mempunyai kuasa untuk memantau atau mengambil tindakan terhadap pusat-pusat siber berkenaan kerana MPPP tidak melesenkan perniagaan tersebut. Cuma pihak PDRM sahaja yang difahamkan boleh mengambil tindakan mengikut undang-undang yang sedia ada.
Masyarakat prihatin tentang masa depan anak-anak bangsa kita perlu menyalurkan maklumat ini kepada pihak PDRM. Jangan dibiarkan pusat-pusat siber ini beroperasi tanpa kawalan. Keuntungan diutamakan oleh pengusaha siber tetapi yang jadi mangsa adalah pelajar sekolah yang malas ke sekolah.

Monday, August 24, 2009

Ramai Pelajar Melayu Ponteng Sekolah!

Kawasan Kompleks Bukit Jambul (KBJ) telah menjadi tumpuan pelajar-pelajar sekolah menengah dan rendah dari Daerah Barat Daya. Baru-baru ini pihak pengurusan KBJ telah mengadakan perjumpaan dengan pihak Polis dan Pejabat Pelajaran Daerah untuk mencari jalan menangani masalah tersebut. Pihak pengurusan KBJ melaporkan bahawa pelajar-pelajar tidak segan silu berdua-duaan dan bercumbu-cumbuan, merokok serta mengganggu orang ramai yang mengunjungi kompleks. Di situ juga menjadi tempat pelajar-pelajar yang ponteng sekolah melepak dan menghabiskan masa dalam siber cafe berhampiran hingga tamat waktu persekolahan. Ibu bapa perlu beri perhatian tentang pergerakan anak-anak. Pihak Pejabat Pelajaran serta pihak polis dijangka akan membuat rondaan dari masa ke semasa supaya kejadian ponteng sekolah dan masalah sosial di kalangan remaja kita dapat ditangani.

Tuan Punya Gerai Sakit Kepala dan Sakit Hati!!!!

Hampir kebanyakan peniaga-peniaga di kawasan Telok Kumbar dan Sungai Batu telah menerima notis untuk merobohkan gerai. Tindakan oleh pihak berkuasa tempatan telah menyebabkan peniaga-peniaga sakit kepala. Itulah punca utama pendapatan kepada peniaga-peniaga berkenaan dan mereka akan kehilangan punca pendapatan jika tindakan meroboh diteruskan. Ada di antara mereka yang telah membelanjakan ribuan ringgit.
Seorang peniaga melaporkan bahawa dia telah membelanjakan beribu ringgit untuk gerai yang baru dibina. Setelah diberhentikan kerja, wang pampasan digunakan untuk memulakan perniagaan tiba-tiba notis untuk merobohkan gerai amat mengecewakan. Beliau berharap pihak berkuasa menangguhkan tindakan meroboh kerana dalam keadaan ekonomi negara yang masih belum stabil, inilah peluang kerja yang ada. Kebanyakan peniaga melahirkan rasa kecewa dengan sikap kerajaan negeri yang tidak bertimbang rasa kepada peniaga-peniaga kecil umpama 'kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang'. "Mengapakah kerajaan BN dahulu tidak sedemikian?", kata mereka. Dan apakah kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat ada maksud tersirat di sebalik notis berkenaan?.