MELAYU PULAU PINANG PERLU BANGKIT UNTUK BERUBAH, MASA TIDAK MENUNGGU KITA

Monday, December 14, 2009

Kempen Pemilihan AJK Qaryah: Pepecahan Umat Islam semakin serius!

Mahu tak mahu, hakikat perpecahan umat Islam akhir-akhir ini semakin ketara dan menggerunkan semua pihak. Walaupun bangsa Melayu mengikut Perlembagaan Persekutuan adalah beragama Islam tetapi perpecahan umat Islam sangat merugikan survival politik bangsa Melayu sendiri dan umat Islam amnya. Suasana politik semasa telah berubah! Orang Melayu berpecah sesama sendiri di kampung-kampung dan di desa-desa, di masjid dan surau tidak berkecuali. Semasa kerajaan negeri di bawah pemerintahan BN, puak UMNO tidak begitu agresif untuk menguasai masjid dan surau kerana puak ini 'tak kisah' siapa yang nak jadi pengerusi qaryah, pegawai masjid mahupun imam. Puak UMNO yang fanatik pun masih boleh menerima imam dari kalangan orang PAS. Sebaliknya puak PAS tidak boleh menerima imam dari kalangan orang UMNO meskipun kemampuan dan keilmuan imam UMNO tidak boleh dinafikan. Inilah yang berlaku di kalangan umat Islam di Malaysia khususnya di Pulau Pinang hari ini.
Kempen pemilihan AJK Qaryah Masjid berjalan dengan begitu hebat. Politik berpuak dalam qaryah tidak dapat disembunyikan lagi. Asas pemilihan bagi calon-calon tertentu sudah berteraskan kepada politik kepartian. Tidak pernah berlaku sebelum ini. Jika berlaku pun tidak begitu ketara. Politik semasa menuntut perubahan. Kempen sudah berjalan. Tanpa segan silu mereka berjalan berkempen. Dari rumah ke rumah hingga di gelanggang permainan mereka terus berkempen. Perjumpaan-perjumpaan secara tertutup diadakan. Yang jelas umat Islam dalam qaryah terus berpecah sesama sendiri. Perpecahan menjadi semakin serius. Mungkin amalan demokrasi dianggap baik tetapi di masjid dan surau jika amalan demokrasi yang 'keterlaluan' yang rugi adalah bangsa Melayu dan umat Islam itu sendiri. Selepas keputusan pemilihan diperolehi dan tanggungjawab diberi, tugas Pengerusi dan AJK Qaryah mungkin lebih mudah dan jika tidak kena gaya akan mendapat padah.
Sebelum ini, institusi masjid kelihatan tenang. Tiada perebutan jawatan. Jika ada pertandingan pun berlaku secara senyap. Tiada isu sama ada calon dari puak UMNO ataupun PAS. Asalkan Pengerusi Qaryah, AJK Qaryah atau imam masjid adalah orang yang mampu dan layak untuk memegang jawatan itu. Dan kita akan lihat apakah barisan kepimpinan baru qaryah yang bakal dilantik nanti dapat menginstitusikan masjid sebagai rumah Allah, tempat orang-orang Islam mengabadikan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan lambang kekuatan agama Islam dan kekukuhan umatnya. Marilah kita sama-sama memelihara kemuliaan dan kehormatan institusi masjid dan qaryah dari segala gangguan-gangguan yang boleh menjejaskan perpaduan ummah.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, "Perpaduan di kalangan orang Melayu berada pada tahap membimbangkan dan mereka perlu kembali kepada ajaran Islam sebenar jika mahu mengukuhkannya". Menurut tokoh agama itu, Islam tidak mengajar umatnya berkelahi sesama sendiri hanya disebabkan oleh perbezaan fahaman politik dan ideologi. ''Kita kena sedar betapa perlunya kita bersatu. Berbeza fahaman politik dan ideologi, tidak semestinya kita harus berkelahi sesama Islam. ''Orang Melayu kena kembali pada agama. Kita lemah kerana kita ingkar dengan perintah Allah SWT," katanya.

1 comment:

Anonymous said...

kebanyakan disemua masjid2 serta surau2 dihadiri jemaah yang bukan dari UMNO.Orang UMNO memang tak jejak kaki kat masjid.Orang yang beriman tak akan menyokong UMNO yang PM nya dayus,Bini sendiripun tak mampu nak suruh pakai tudung inikan pula nak memerentah negara.Dia ingat malaysia ni depa punya.;epas bapak dia jadiPM dia pula nak jadi PM. Orang UMNO memang bahlol memuja najib antantuya.