MELAYU PULAU PINANG PERLU BANGKIT UNTUK BERUBAH, MASA TIDAK MENUNGGU KITA

Monday, September 21, 2009

RUMAH TERBUKA SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI

Hari ini, wakil rakyat Telok Bahang, Dato' Seri Dr. Hilmi Yahaya dan Speaker DUN, Abdul Halim Hussain telah mengadakan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri dalam tempoh masa yang sama tetapi tempat tidak berapa jauh di antara satu sama lain. Rumah Terbuka Speaker DUN Pulau Pinang diadakan di Kompleks Sukan Balik Pulau yang besar, luas dan amat selesa. Sebaliknya DS Dr. Hilmi Yahaya mengadakannya di perkarangan rumahnya yang agak luas tetapi tidak selesa. Kehadiran tetamu dapat dilihat dengan barisan kereta yang diletak di sebelah kiri dan kanan jalan raya. Sepintas lalu, kehadiran tetamu DS Dr. Hilmi Yahaya lebih ramai pada tahun ini jika dibandingkan dengan tahun sebelum ini.
Sempat memasukki perkarangan tempat letak kereta Kompleks Sukan Balik Pulau kira-kira jam 12.15 tengahari. Kelihatan masih banyak tempat-tempat letak kereta yang kosong termasuk di bahagian belakang dan kanan kompleks. Tiada kenderaan yang melimpah keluar kawasan kompleks, tiada kenderaan yang didapati diletakkan hingga di hadapan SK Balik Pulau seperti dapat kita lihat semasa DS Dr Hilmi mengadakan Rumah Terbuka kira-kira tiga tahun yang lalu. Mungkin tidak adil jika ini dijadikan ukuran kerana DS Hilmi adalah ahli parlimen Balik Pulau merangkap Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan pada masa itu. Rumah Terbuka itu pula diadakan secara bersama dengan YB Farid (DUN Pulau Betong) dan mantan ADUN Telok Bahang, Faridah Arshad.
Berdasarkan kehadiran tetamu yang begitu ramai pada hari ini, DS Hilmi selaku Ketua Bahagian UMNO Balik Pulau akan merasakan sedikit lega kerana selaku wakil rakyat pembangkang di Pulau Pinang, sokongan rakyat pelbagai kaum masih kuat dan bertambah baik. Namun begitu Speaker DUN Pulau Pinang, Abdul Halim Hussain tidak sepatutnya merasa resah kerana beliau masih baru dan jumlah kehadiran tetamunya pada hari ini boleh dianggap sudah cukup baik.

Tuesday, September 8, 2009

Jalan Teluk Kumbar-Bayan Lepas Sesak Teruk Bila Hari Hujan!!




Hari ini 8 Sept.,2009, Selasa suatu perjalanan ke pejabat yang amat menyiksakan dan menderita. Bulan Ramadhan, bulan penuh keberkatan menuntut kita banyak bersabar kepada Allah s.w.t. Kenderaan sesak sejauh hampir 1 km bermula dari lampu trafik Bayan Lepas hinggalah ke simpang SK Sungai Batu. Kenderaan bergerak perlahan-lahan dan kadang-kadang berhenti mendaki dan menuruni bukit. Pemandu yang tidak sabar, tanpa segan dan rasa malu, terus memecut laju memotong barisan kenderaan yang setia menunggu giliran. Mungkin pemandu itu sudah terlewat dan mungkin juga pemandu itu tunjuk lagak yang dia pemandu hebat di atas jalan raya yang sesak. Entahlah tetapi beginilah nasib pengguna-pengguna jalan raya yang datang dari Sg. Batu, Telok Kumbar dan Balik Pulau. Sampai bila mereka ini harus menghadapi keadaan begini? Sejak dua-tiga tahun yang lampau beginilah keadaannya. Apakah nasib mereka akan terus begini sehingga dua-tiga tahun lagi?
Pemimpin-pemimpin negara dan lebih-lebih lagi Exco Kerajaan Negeri yang berkaitan dengan portfolio kemudahan awam yang boleh menjawabnya. Boleh jawab tetapi belum tentu mampu melaksanakannya! Sebenarnya sudah lama rakyat dari sebelah Sg. Batu dan Telok Kumbar tersiksa dengan kesesakan jalan raya begini. Kesesakan akan menjadi lebih serius bila jalan Teluk Kumbar - Genting siap dan boleh digunakan oleh orang ramai. Bererti jiwa semakin tersiksa dan hati terus merana, bukan kerana putus cinta tetapi angkara jalan yang tidak raya. Jika kesesakan hari ini sudah bermula jam 6.45 pagi pada waktu hujan dan mungkin akan datang mereka mesti bermula perjalanan sebaik selesai sahaja solat Subuh. Pemimpin-pemimpin kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat perlu mengambil perhatian yang serius berkaitan pembinaan jalan Teluk Kumbar-Bayan Lepas supaya penduduk tidak terus tersiksa dan menderita!

Sunday, September 6, 2009

Kasihan Peniaga Pasar Ramadan Tidak Mendapat Pembelaan!!

BANTAH ... Para peniaga membuat bantahan terhadap MPPP berikutan larangan membuka Pasar Ramadan di sepanjang Jalan Penang di Georgetown, Pulau Pinang. Inilah peluang untuk orang Islam berniaga di bulan Ramadan. Cuma MPPP boleh menentukan lot-lot niaga dan peraturan-peraturan tertentu kerana pasar Ramadan juga boleh dijadikan daya tarikan kepada pelancong-pelancong asing yang berada di Pulau Pinang. Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri dan MPPP hendaklah adil dan menghormati hak rakyat serta memahami masalah perniagaan orang Melayu/Islam di bandar-bandar. Difahamkan hari ini hampir mencetus pergaduhan bila MPPP bertindak merampas barangan yang dijual di pasar Ramadan di bandar Georgetown. Nasib orang Melayu/Islam di bandar tidak diberi peluang langsung untuk berniaga hanya untuk sepanjang bulan Ramadan.

Saturday, September 5, 2009

Bakar Mercun Bukan Budaya Kita!!!

Hampir setiap malam dan setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri akan terdengarlah dentuman mercun dan meriam buatan sendiri. Bunyi dentuman yang sangat kuat menjadi kebanggaan anak muda Melayu. Tanpa rasa segan dan malu, mereka membakar mercun dan meriam mengganggu kedamaian penduduk yang sedang bersolat di rumah, surau atau pun masjid. Pemuda-pemuda dan remaja-remaja hari ini tidak boleh ditegur. Sedihnya mereka berhimpun bukan untuk ke surau atau masjid tetapi menunggu memasuki waktu maghrib untuk membakar mercun. Inilah kerja 'ibadah' orang muda kita pada setiap malam tanpa takut dan hormat kepada sesiapa.
Mungkin mereka menganggap kerja mereka ini merupakan suatu budaya yang tidak menyalahi hukum-hakam agama dan undang-undang negara. Khutbah Jumaat jika ada menyebut persoalan tersebut tetapi mereka masih dengar tak dengar dan mungkin tidak ke masjid menunaikan solat Jumaat. Jika ada pun mungkin mereka tiba di masjid hanya pada ketika hendak menunaikan solat Jumaat.
Pihak berkuasa sama ada PDRM (Polis DiRaja Malaysia) ataupun KDRM (Kastam DiRaja Malaysia) perlu mengambil tindakan tegas kerana undang-undang jelas menyatakan sesiapa yang membakar mercun boleh dikenakan hukuman kerana berurusan dengan barang larangan yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. Tindakan perlu diambil untuk menangani masalah ini. Mustahil balai-balai polis berhampiran tidak mendengar dentuman yang kuat itu. Sekurang-kurangnya anggota polis yang membuat rondaan berusahalah sikit untuk mencari tempat mercun atau meriam itu dibakar. Jika tindakan begini dilakukan sudah cukup menakutkan remaja-remaja lain yang ingin mencuba. Kebanyakan penduduk tidak suka dentuman yang kuat terutama ketika masjid dan surau sedang mengadakan solat jemaah taraweh. Dentuman-dentuman yang kuat itu juga menyebabkan anak-anak kecil terkejut dalam tidur mereka. Orang-orang tua seperti nak gugur jantung mereka. Pihak-pihak berkuasa dan Jawatankuasa Kampung perlu membangkitkan perkara ini dalam mesyuarat-mesyuarat kampung supaya masalah ini dapat dikurangkan pada masa akan datang, InsyaAllah.