MELAYU PULAU PINANG PERLU BANGKIT UNTUK BERUBAH, MASA TIDAK MENUNGGU KITA

Saturday, September 5, 2009

Bakar Mercun Bukan Budaya Kita!!!

Hampir setiap malam dan setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri akan terdengarlah dentuman mercun dan meriam buatan sendiri. Bunyi dentuman yang sangat kuat menjadi kebanggaan anak muda Melayu. Tanpa rasa segan dan malu, mereka membakar mercun dan meriam mengganggu kedamaian penduduk yang sedang bersolat di rumah, surau atau pun masjid. Pemuda-pemuda dan remaja-remaja hari ini tidak boleh ditegur. Sedihnya mereka berhimpun bukan untuk ke surau atau masjid tetapi menunggu memasuki waktu maghrib untuk membakar mercun. Inilah kerja 'ibadah' orang muda kita pada setiap malam tanpa takut dan hormat kepada sesiapa.
Mungkin mereka menganggap kerja mereka ini merupakan suatu budaya yang tidak menyalahi hukum-hakam agama dan undang-undang negara. Khutbah Jumaat jika ada menyebut persoalan tersebut tetapi mereka masih dengar tak dengar dan mungkin tidak ke masjid menunaikan solat Jumaat. Jika ada pun mungkin mereka tiba di masjid hanya pada ketika hendak menunaikan solat Jumaat.
Pihak berkuasa sama ada PDRM (Polis DiRaja Malaysia) ataupun KDRM (Kastam DiRaja Malaysia) perlu mengambil tindakan tegas kerana undang-undang jelas menyatakan sesiapa yang membakar mercun boleh dikenakan hukuman kerana berurusan dengan barang larangan yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. Tindakan perlu diambil untuk menangani masalah ini. Mustahil balai-balai polis berhampiran tidak mendengar dentuman yang kuat itu. Sekurang-kurangnya anggota polis yang membuat rondaan berusahalah sikit untuk mencari tempat mercun atau meriam itu dibakar. Jika tindakan begini dilakukan sudah cukup menakutkan remaja-remaja lain yang ingin mencuba. Kebanyakan penduduk tidak suka dentuman yang kuat terutama ketika masjid dan surau sedang mengadakan solat jemaah taraweh. Dentuman-dentuman yang kuat itu juga menyebabkan anak-anak kecil terkejut dalam tidur mereka. Orang-orang tua seperti nak gugur jantung mereka. Pihak-pihak berkuasa dan Jawatankuasa Kampung perlu membangkitkan perkara ini dalam mesyuarat-mesyuarat kampung supaya masalah ini dapat dikurangkan pada masa akan datang, InsyaAllah.

No comments: