MELAYU PULAU PINANG PERLU BANGKIT UNTUK BERUBAH, MASA TIDAK MENUNGGU KITA

Monday, November 2, 2009

Melayu Pulau Pinang Terpinggir atau Dipinggirkan?

Pada 2 Nov. 2009 jam 10.00 malam, Program Di Luar Lingkup (DLL) RTM1 telah membicarakan tajuk yang sekian lama dibincangkan sejak dulu tapi tidak ke mana-mana. Cikgu Azmi Hamid, Pengerusi Teras asyik mengkritik dasar kerajaan, agensi dan slogan 1Malaysia yang beretorik. Tapi tidak pula mengusulkan apakah langkah-langkah konkrit yang boleh pihak kerajaan terutama kerajaan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat lakukan supaya Melayu PP tidak akan dipinggirkan lagi.
Sdr Rizal, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang yang mengetengahkan fakta tetapi sekadar menceritakan sejarah Melayu Pulau Pinang bagaimana beransur-ansur terpinggir. Mungkin masa yang terbatas, pengerusi panel, sdr Syed Munawar tidak berkesempatan memberi peluang ahli panel mengemukakan langkah-langkah untuk mengatasi masalah Melayu di Pulau Pinang yang dipinggir sekian lama.
Melalui emel yang diapaparkan melalui kaca TV kebanyakan penghantar emel melahirkan rasa tidak puas hati orang Melayu yang diperintah oleh pemimpin bukan Melayu. Mereka mempercayai jika pemimpin Melayu yang menjadi Ketua Menteri, orang Melayu PP akan terbela. Ada emel yang mahu orang Melayu kembali bersatu untuk mengembalikan kuasa memerintah PP kepada BN. Mereka hilang keyakinan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat hari ini dapat membela nasib orang Melayu dan agama Islam.
Program DLL TV1 semalam yang mengambil masa hanya 1 jam sebenarnya tidak mampu menghuraikan secara komprehensif masalah orang Melayu Pulau Pinang yang terpinggir dan tertekan sejak berdekad lamanya. Kita menunggu pemimpin-pemimpin Melayu Pakatan Rakyat yang diwakili oleh pemimpin PKR dan PAS dapat membuat sesuatu, bukan sekadar berceramah dan mengkritik sepatutnya sudah ada pun usaha-usaha untuk memertabatkan orang Melayu Pulau Pinang terutama dalam sektor industri pembuatan, pelancongan, perkapalan, keusahawanan, pemilikan hartanah dan sebagainya.
BN dikatakan gagal memerintah dan membela nasib orang Melayu Pulau Pinang hingga dihukum rakyat dalam PRU12 yang lalu. Giliran Pakatan Rakyat pula buktikan kepada pengundi-pengundi bahawa Pakatan Rakyat mampu melaksanakannya. Tidak asyik menyalahkan orang lain. Tetapi melalui sembang-sembang, rata-rata orang Melayu mengakui bahawa Melayu Pulau Pinang lebih tertekan dan semakin dipinggir di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat. Ada dasar kerajaan negeri PR secara tidak sedar telah merugikan orang Melayu sendiri. Pemimpin PAS dan PKR dalam Pakatan Rakyat di PP jangan berdiam membisu. Beranilah mempertahankan kepentingan Melayu dan agama Islam sepertimana YB Dato' Hassan Ali lakukan di Selangor. Jangan sampai 'Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih'.

No comments: