MELAYU PULAU PINANG PERLU BANGKIT UNTUK BERUBAH, MASA TIDAK MENUNGGU KITA

Monday, November 30, 2009

PASAR MALAM BEROPERASI SEBELUM SEKOLAH DIBUKA!





Belum pun sekolah beroperasi, Pasar Malam Kg. Seronok telah pun bertapak di laluan masuk ke Sekolah Kebangsaan Bayan Lepas 2. Pihak Jabatan Pelajaran Negeri atau Pejabat Pelajaran Daerah Barat Daya pun difahamkan tidak dimaklumkan tentang pasar malam tersebut. Beberapa orang penduduk di situ melahirkan rasa kurang senang dengan kewujudan pasar malam di jalan masuk ke kawasan sekolah. Sudah pasti nanti akan timbul banyak masalah yang akan wujud dengan adanya pasar malam di situ. Bagaimana pihak MPPP boleh benarkan pasar malam beroperasi di situ? Apakah pihak penganjur, JKKK Kg. Seronok telah memperolehi kebenaran dari Jabatan Pelajaran atau penduduk-penduduk di kawasan tersebut bagi tujuan mengadakan Pasar Malam di kawasan tersebut? Pihak penganjur perlu mendapatkan pandangan semua pihak terutama penduduk di kawasan kampung yang berhampiran dan Jabatan Pelajaran Pulau Pinang kerana ianya (Pasar Malam) pasti akan menjejaskan hak dan kepentingan orang ramai di kawasan itu.

Wednesday, November 11, 2009

KERAJAAN NEGERI DIDAKWA BERHELAH!

Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Datuk Azhar Ibrahim membidas kerajaan negeri Pulau Pinang kerana tidak bercakap benar mengenai projek pembangunan yang hendak dilaksanakan oleh agensi itu di dua kawasan di Balik Pulau. Kerajaan Negeri mengatakan Perda hanya mahu memajukan projek perumahan berharga antara RM300,000 dan RM1 juta sebagai helah untuk menyekat pembangunan di kawasan Melayu.
Beliau menjelaskan bahawa Perda berhasrat memajukan pembangunan bercampur di dua kawasan miliknya iaitu Sungai Batu dan Teluk Bahang dan permohonan untuk menukar syarat guna tanah telah dikemukakan kepada kerajaan negeri sekitar tahun 2008. "Sudah beberapa kali berbincang dengan Kerajaan Negeri termasuk membuat pindaan seperti yang dikehendaki tetapi masih tiada jawapan diberikan sehingga kini." katanya.
Nampaknya Lim Guan Eng berlakon baik tetapi licik untuk menghapuskan kekuatan politik Melayu di kawasan Balik Pulau? Ada mata tengok dan ada telinga dengar ada otak fikirlah wahai orang-orang Melayu di kawasan Balik Pulau!

Tuesday, November 10, 2009

Elaun Sara Hidup Nelayan di Kawasan Pulau Pinang Selatan

Seramai 1200 nelayan kawasan Pulau Pinang Selatan telah menerima bayaran elaun sara hidup sebanyak RM200 secara tunai pada majlis yang diadakan di Kompleks Sukan Balik Pulau semalam. Bantuan ini telah mula disalurkan sejak Oktober tahun lepas dan sehingga kini ke semua nelayan berdaftar terus menerima bantuan bulanan tersebut untuk meningkatkan pendapatan bulanan mereka.
Kesemua nelayan merangkumi kawasan Sungai Pinang, Jelutong sehinggalah Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau akan terus menerima elaun sara hidup tersebut. Turut hadir majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Telok Bahang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya, ADUN Bayan Lepas, Syed Amerruddin Syed Ahmad dan ADUN Pulau Betong, Muhammad Farid Saad.
Melalui bajet 2010 yang dibentangkan oleh PM baru-baru ini, pihak kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM170 juta untuk membantu nelayan meningkatkan taraf hidup mereka.

Monday, November 2, 2009

Melayu Pulau Pinang Terpinggir atau Dipinggirkan?

Pada 2 Nov. 2009 jam 10.00 malam, Program Di Luar Lingkup (DLL) RTM1 telah membicarakan tajuk yang sekian lama dibincangkan sejak dulu tapi tidak ke mana-mana. Cikgu Azmi Hamid, Pengerusi Teras asyik mengkritik dasar kerajaan, agensi dan slogan 1Malaysia yang beretorik. Tapi tidak pula mengusulkan apakah langkah-langkah konkrit yang boleh pihak kerajaan terutama kerajaan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat lakukan supaya Melayu PP tidak akan dipinggirkan lagi.
Sdr Rizal, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang yang mengetengahkan fakta tetapi sekadar menceritakan sejarah Melayu Pulau Pinang bagaimana beransur-ansur terpinggir. Mungkin masa yang terbatas, pengerusi panel, sdr Syed Munawar tidak berkesempatan memberi peluang ahli panel mengemukakan langkah-langkah untuk mengatasi masalah Melayu di Pulau Pinang yang dipinggir sekian lama.
Melalui emel yang diapaparkan melalui kaca TV kebanyakan penghantar emel melahirkan rasa tidak puas hati orang Melayu yang diperintah oleh pemimpin bukan Melayu. Mereka mempercayai jika pemimpin Melayu yang menjadi Ketua Menteri, orang Melayu PP akan terbela. Ada emel yang mahu orang Melayu kembali bersatu untuk mengembalikan kuasa memerintah PP kepada BN. Mereka hilang keyakinan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat hari ini dapat membela nasib orang Melayu dan agama Islam.
Program DLL TV1 semalam yang mengambil masa hanya 1 jam sebenarnya tidak mampu menghuraikan secara komprehensif masalah orang Melayu Pulau Pinang yang terpinggir dan tertekan sejak berdekad lamanya. Kita menunggu pemimpin-pemimpin Melayu Pakatan Rakyat yang diwakili oleh pemimpin PKR dan PAS dapat membuat sesuatu, bukan sekadar berceramah dan mengkritik sepatutnya sudah ada pun usaha-usaha untuk memertabatkan orang Melayu Pulau Pinang terutama dalam sektor industri pembuatan, pelancongan, perkapalan, keusahawanan, pemilikan hartanah dan sebagainya.
BN dikatakan gagal memerintah dan membela nasib orang Melayu Pulau Pinang hingga dihukum rakyat dalam PRU12 yang lalu. Giliran Pakatan Rakyat pula buktikan kepada pengundi-pengundi bahawa Pakatan Rakyat mampu melaksanakannya. Tidak asyik menyalahkan orang lain. Tetapi melalui sembang-sembang, rata-rata orang Melayu mengakui bahawa Melayu Pulau Pinang lebih tertekan dan semakin dipinggir di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat. Ada dasar kerajaan negeri PR secara tidak sedar telah merugikan orang Melayu sendiri. Pemimpin PAS dan PKR dalam Pakatan Rakyat di PP jangan berdiam membisu. Beranilah mempertahankan kepentingan Melayu dan agama Islam sepertimana YB Dato' Hassan Ali lakukan di Selangor. Jangan sampai 'Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih'.